KURANG AIR ROSAKKAN ORGAN
KURANG AIR ROSAKKAN ORGAN
Kita sering dinasihatkan supaya minum banyak air, sekurang-kurangnya
lapan gelas sehari. Namun bagi sesetengah orang, nasihat ini sukar
diikut dengan alasan mereka akan kerap mengulang ke tandas dan ini bukan
perkara digemari.
Selain itu, ada juga yang berpendapat badan mereka menerima cukup
bekalan air selepas dicampur kopi, teh, jus buah atau minuman
berkarbonat yang diambil sepanjang hari.
Justeru, ramai beranggapan pengambilan air masak dirasakan tidak perlu sebanyak disarankan.
Secara purata, badan kita kehilangan hampir 2.5 liter air (lebih
kurang 10 cawan) setiap hari melalui peluh, pernafasan dan pembuangan
najis.
Pada masa sama, kita juga kehilangan bahan elektrolit (mineral)
seperti sodium, potassium dan kalsium yang berfungsi menjaga
keseimbangan cecair dalam badan.
Perlu diganti segera
Itu adalah kadar kehilangan air yang normal daripada setiap orang.
Bagi individu yang aktif, kadar kehilangan air dan mineral lebih banyak
yang perlu diganti segera bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi (masalah
kekurangan air).
Hampir 60 peratus daripada berat badan kita adalah berat air, jadi
jika berlaku dehidrasi badan akan mengalami perubahan fisiologi yang
mungkin boleh menjejaskan kesihatan, tetapi masalah ini biasanya tidak
kita sedari.
Menurut artikel terbitan Mayo Clinic, Minnessotta, masalah
kekurangan air akan menyebabkan jumlah darah yang dipam ke seluruh badan
juga berkurang.
Akibatnya, jantung terpaksa mengepam lebih kuat untuk membekalkan
darah yang mencukupi kepada semua organ dan keupayaan badan mengekalkan
tekanan darah juga menurun.
Oleh kerana badan kekurangan air, kita tidak akan berpeluh dan haba
tidak keluar dari badan seperti biasa. Dalam keadaan lebih serius,
masalah ini akan menyebabkan suhu badan meningkat dan kita mungkin boleh
demam.
Mungkin anda berfikir, badan kurang air bila kita dahaga. Anggapan
ini kurang tepat kerana dahaga bukan penunjuk tepat kepada masalah ini,
terutama di kalangan kanak-kanak dan orang tua, kerana badan boleh
mengadaptasi kepada keadaan kekurangan air sehinggalah masalah menjadi
lebih serius.
Bukan semua kes dehidrasi akan menyebabkan komplikasi serius, tetapi
kehilangan dua peratus berat badan boleh mempengaruhi prestasi,
terutama di kalangan atlit, kehilangan tiga hingga lima peratus berat
badan akibat dehidrasi menjejaskan penumpuan, tindak balas dan
pertimbangan mereka.
Penunjuk terbaik adalah warna air kencing — sama ada kuning cair atau pekat.
Antara tanda kekurangan air termasuk:
* Cepat letih, kanak-kanak jadi kurang aktif
* Terlalu dahaga
* Mulut kering
* Mengantuk
* Air kencing sedikit dan pekat
* Air mata terlalu sedikit atau tiada apabila menangis
* Lemah otot
* Sakit kepala dan pening
Pada keadaan lebih serius, individu terbabit mungkin mengalami masalah:
* Kurang berpeluh
* Mata cengkung
* Tekanan darah rendah
* Kulit menjadi kering dan tidak kenyal (bila ditekan, lambat kembali ke bentuk asal)
* Denyutan jantung menjadi cepat
* Demam
* Meracau
* Pengsan
Keadaan kekurangan air berterusan juga boleh mengundang bahaya yang
tidak dijangka, seperti hipovolemik yang berlaku apabila jumlah darah
yang dipam ke organ berkurangan dan mengakibatkan oksigen yang sampai ke
organ dan tisu badan tidak mencukupi.
Jika tidak diatasi segera, hipovolemik boleh menyebabkan kematian dalam masa beberapa minit.
Malah, otak juga boleh menjadi bengkak. Biasanya air yang hilang
dari badan mengandungi garam galian dan untuk menggantikannya, badan
terpaksa menghasilkan bahan yang akan menarik balik air ke dalam sel.
Akibatnya, sel mungkin menyerap terlalu banyak air, menjadi bengkak
dan pecah. Keadaan ini bertukar menjadi masalah serius apabila
membabitkan sel-sel otak.
Sikap tidak suka minum air juga sebenarnya menyeksa organ penting
badan, terutama buah pinggang, kerana buah pinggang tidak lagi dapat
berfungsi menapis bahan-bahan toksik daripada air (tindak balas untuk
mengurangkan kehilangan air dari badan).
Air juga mudah keluar daripada badan melalui cirit birit (kaedah
paling cepat kehilangan air dan garam mineral, terutama di kalangan
kanak-kanak), bersenam, berjogging, berbasikal atau sekadar berjalan.
Demam juga akan menyebabkan kita kehilangan air. Lagi panas suhu
badan, lebih banyak air yang hilang. Masalah bertambah buruk jika anda
muntah dan birit birit.
Selain itu, penerbangan yang lama ke satu-satu destinasi juga
menyebabkan kita kehilangan air kerana udara dalam kapal terbang sangat
kering, dengan kadar kelembapan kurang daripada 10 peratus. Keadaan
bertambah buruk jika anda minum minuman beralkohol. Jadi, pastikan anda
minum banyak air masak ketika penerbangan.
Bagi orang dewasa yang masih muda, masalah kekurangan air mungkin
tidak mendatangkan banyak kesan sampingan, tetapi keadaannya berbeza
bagi bayi, kanak-kanak dan orang tua, khususnya jika menghidap penyakit
seperti kencing manis.
Justeru inilah juga, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga jika
bayi atau anak kecil mengalami masalah muntah dan cirit birit. Pastikan
air yang hilang dari badan diganti segera untuk mengelakkan kemungkinan
yang tidak diingini kerana kehilangan air berlebihan boleh menyebabkan
kematian.
Semakin kita berusia, kebolehan badan untuk mengekalkan kandungan
air dalam badan menurun, deria mengesan dahaga juga menjadi kurang peka
dan kemampuan badan bertindak balas dengan perubahan cuaca juga semakin
rendah.
Malah, sesetengah orang tua yang tinggal di rumah penjagaan mahupun
duduk sendirian selalunya makan sedikit dan terlupa untuk makan atau
minum. Keadaan ini juga akan menyumbang kepada masalah dehidrasi yang
semakin meruncing setiap hari jika tidak diperbaiki.
Jadi, sebelum berlaku kerosakan tidak diingini, mulakanlah amalan
yang baik untuk diri anda. Caranya bukan susah, cuma minum air masak
sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter sehari. Jadi, jangan
bertangguh lagi melakukan ‘kebajikan’ untuk diri sendiri